Muslim Kids - Ke Arah Generasi Celik Al Quran

Tuesday 3 April 2012

Riyadhus Solihin : Bab 1 Ikhlas

Kitab              :           Riyahdhus Solihin
Bab                 :           Ikhlas
Pengajar       :           Ustaz Ahmad

Berniat dengan ikhlas bagi semua amalan adalah perkara asas dalam agama Islam sama asa perkataan atau perbuatan zahir dan batin. Perkara ini diterangkan di dalam Al Quran ;

“..padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh diatas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar.” (Al Baiyinah : 5) 

Daripada ayat tersebut dapatlah difahami betapa pentingnya niat. Oleh sebab itulah setiap orang dikhendaki berniat dengan tulus ikhlas dalam semua amalan semata-mata kerana Allah taala.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafas (Umar bin Al Khattab) katanya, kau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : “ Hanyasanya sah segala amalan itu dengan berniat dan sesungguhnya setiap orang akan mendapat sesuatu berdasarkan niatnya. Sesiapa yang berhijrah dengan niat kerana Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya itu diterima oleh Allah dan Rasulnya dan sesiapa berhijrah kerana dunia yang dicarinya atau wanita yang akan dikahwininya maka hijrahnya itu akan menghasilkan sesuatu selaras dengan niat hijrah itu”.

(AlBukhary & Muslim).

Pengajaran hadis :

1.     Setiap amalan bergantung kepada niat.

2.     Sesuatu amalan yang dilakukan dengan sempurna kerana Allah akan mendapat ganjaran di akhirat kelak. Sebaliknya sebarang amalan yang dibuat untuk mendapatkan sesuatu yang bersifat keduniaan semata-mata tidak mendapat sebarang ganjaran pahala.
3.     Niat hanya dikhendaki bagi amalan kebajikan sahaja.

4.     Niat merupakan rukun pertama bagi setiap ibadat dan merupakan batas untuk membezakan di antara amalan biasa (adat) atau ibadat.